SELEPAS lima hari menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini pada sebutan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Pada prosiding itu, peguam belanya memohon supaya Mahkamah Tinggi mendengar segera permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun selepas didapati bersalah mengabai (10 tahun) dan menganiaya (12 tahun) kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella.
Bagaimanapun, hukuman itu diarahkan berjalan serentak dan dia diperintahkan menjalani hukuman serta merta selepas permohonan untuk menangguhkan pelaksanaaan hukuman ditolak mahkamah.
Dalam prosiding hari ini, Peguam Siti Bainun, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor memberitahu Hakim Datuk Ahmad Bache pihaknya memfailkan perakuan segera bersama afidavit permohonan tersebut.
“Kami mohon supaya permohonan ini didengar dengan segera kerana Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan dan saya akan lampirkan dokumen perubatan mengenai isu itu,” kata Nur A’minahtul Mardiah.
Peguam itu turut memaklumkan bahawa peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan Siti Bainun di mahkamah tinggi.
Dalam pada itu, seorang lagi peguam, bela, Ahmad Faiz Munawar memakluman telah memfailkan afidavit dan memohon pendengaran dibuat dalam tempoh singkat selewat-lewatnya minggu depan.
Afidavit itu menyatakan antara alasan supaya ia didengar segera kerana
Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit hempedu dan perlu menanggung ibunya yang tua serta memerlukan perhatian serta rawatan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zilfinaz Abbas mengesahkan menerima afidavit Jumaat lalu, dan memohon masa 14 hari untuk menjawabnya kerana memerlukan masa untuk berbincang dengan TPR lain.
Hakim kemudian mengarahkan pendakwaan untuk menjawab afidavit tersebut dalam tempoh 10 hari dan menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar permohonan itu.
Selain Zilfinaz, pendakawaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aziah Mohamad, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.
Selain hukuman 12 tahun penjara, Siyi Bainun juga diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.