DATUK Seri Shahidan Kassim mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) wajar dibubarkan dalam masa terdekat ini.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, ketiga-tiga negeri berkenaan perlu membubarkan DUN dengan segera.

Jelasnya, cadangan itu wajar selepas melihat kepada sokongan rakyat kepada gabungan berkenaan terutama daripada kalangan orang Melayu ketika PRU15, 19 November lalu.

Tambah beliau, syor berkenaan juga dibuat selepas PN berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Perlis, Kelantan dan Terengganu selain menang di 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah.

“Jadi saya percaya kepada (pemimpin PN di negeri) Kedah, Kelantan, dan Terengganu, (bahawa) ini masa yang terbaik (untuk bubar DUN).

“Selepas kita habis (PRU15 di) Padang Serai dan Tioman dan kita akan menang dengan izin Allah, eloklah buat pilihan raya negeri sebab pernah berlaku dalam sejarah bila Rasulullah balik pada satu peperangan, Rasulullah tidak benarkan askar-askar balik ke rumah, terus berperang, berperang dengan orang-orang Yahudi yang telah menipu orang Islam.

“Jadi selepas pilihan raya ini saya ingat askar-askar (jentera) kami pun tidak balik lagi, khemah perpaduan ummah kami ada (lagi) di sini, kami tidak (akan) balik terus (dan akan ada) dengan (jentera PN untuk) pilihan raya (negeri) di Kedah, saya rasa (jika dilakukan PRN), Kedah (akan) macam Perlis juga, PN akan sapu bersih (kerusi DUN),” katanya dipetik Astro Awani, hari ini.

Pada PRU15 lalu, PN menang di 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis sekali gus menyaksikan Barisan Nasional (BN) tersungkur pertama kali dalam sejarah.

PN juga berjaya menyapu bersih di kesemua tiga kerusi Parlimen di Perlis, lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *