Veteran politik dalam UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim berkata parti itu sepatutnya mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mengkhianati keputusan ‘Top 5’ dalam pemilihan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas keputusan UMNO untuk memecatnya Shahidan berkata Zahid tidak perlu memberi amaran kepadanya sebaliknya beliau yang perlu ‘cermin’ dirinya sendiri dan bertanya adakah beliau ikhlas dalam memperjuangkan parti.

“Sewajarnya Presiden UMNO yang dipecat kerana dirinya sendiri yang buat khianat disebabkan tidak ikut keputusan Top 5.

“Apa hebatnya dia (Zahid) dan kita takut parti ini (UMNO) memberi perlindungan kepada perasuah seperti dia berdasarkan apa yang dia beritahu dalam perhimpunan MIC baru-baru ini.

Dia menyatakan bahawa Timbalan Presiden UMNO, MCA dan MIC perlu beri kemenangan kepada BN kerana mereka semua akan dihadapkan ke mahkamah atas kes rasuah yang mereka dijangka hadapi,” kata Shahidan.

Mengulas lanjut, Shahidan yang mempertahankan kerusinya di Parlimen Arau pada PRU-15 ini atas tiket Perikatan Nasional (PN) berkata beliau berasa pelik melihat tidak banyak calon BN yang secara naratifnya memperakukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri BN.

“Semua parti termasuk PN, Pakatan Harapan (PH) sudah menyatakan calon Perdana Menteri masing-masing seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun puak (BN) ini bagaikan senyap dan tidak berani untuk menyatakan pendirian mereka,” katanya menurut Harian Metro.

Menurut Shahidan beliau tidak peduli sekiranya dipecat daripada UMNO.

Katanya beliau sedang giat menjalankan gerakan bagi memartabatkan perpaduan ummah menerusi undi UMNO, PAS dan Bersatu di Parlimen Arau dan negeri Perlis.

“Kempen berjalan dengan lancar dan sebagaimana saya sudah sebutkan bahawa Insya-Allah gerakan untuk memartabatkan perpaduan ummah menerusi UMNO, PAS dan Bersatu duduk di bawah satu bumbung sedang diusahakan.

“Insya-Allah kita akan mula gerakan di Arau di mana orang UMNO, PAS dan Bersatu akan sokong saya dan ini akan menampakkan bahawa jumlah yang kita dapat nanti bahawa orang mahu kepada perpaduan ummah di Arau,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *