Seorang wanita berpangkat Professor Madya telah membuat permohonan maaf di atas tindakannya memaki hamun seorang pengguna jalan raya, hari ini.
Bahariah Khalid yang bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) memuat naik gambar bertulis perkataan ‘maaf’ di Instagram miliknya.
Wanita itu turut menulis kapsyen “Jika saya salah, saya minta maaf. Jika saya betul, saya maafkan semua. Spread the positivity. Im done. Assalamualaikum”
Terdahulu, satu video tular di media sosial apabila seorang individu dipercayai doktor mendoakan orang awam supaya dijangkiti Covid-19.
Tindakan wanita itu nyaris menyebabkan berlakunya kemalangan dengan kenderaan lain.
Pengguna Twitter Fadzli Amin atau @Fadzmin yang memuat naik dua video itu memaklumkan pemandu tersebut yang juga seorang doktor telah melakukan provokasi.
“Cara dia membuat pusingan U membahayakan orang lain dan melakukan provokasi melampau. Wajarkah seorang doktor mendoakan orang lain kena (dijangkiti) Covid-19?,” ciap @Fadzmin.