Saksi ketiga kes gangguan seksual terhadap Ebit Lew melihat tangkap layar mesej lucah yang dihantar kepada seorang wanita yang menjadi mangsa dalam kes melibatkan pendakwah bebas tersebut.

Firdaus Wong Wai Hung, 39, memberitahu Mahkamah Majistret Tenom bahawa saksi pertama iaitu Akhi Fairuz Al-Jengkawi atau nama sebenarnya, Mohd. Fairuz Abu, 37, berkongsi mesej lucah tersebut menerusi aplikasi Whatsapp.

“Wanita ini telah mengadu kepada sahabat saya (Akhi Fairuz) bahawa dia telah menerima gambar-gambar lucah.

“Kemudian beliau (Akhi Fairuz) telah berkongsi dengan saya gambar dan tangkap layar mesej lucah daripada Ebit Lew yang diterima wanita tersebut. Saya telah menerima gambar kemaluan lelaki,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

“Alhamdulillah, …syukur kepada Allah. Setahun saya menanti hari mahkamah ini. Pelbagai fitnah tidak berhenti yang tidak dapat disebutkan saya tanggung sendiri sejak balik dari Palestin tempoh hari. 

“Dengan ke mahkamah ini, saya berharap dapat tahu kebenaran. Mahkamah adalah tempat yang paling tidak boleh cakap apa sahaja. Kena ada bukti dan sekiranya tiada bukti apa sahaja perkara pasti akan ditolak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.  

Ditanya perasaannya sepanjang perbicaraan selama empat hari di Mahkamah Majistret Tenom, Ebit, 37, memaklumkan tetap sedih kerana perlu melalui perkara seumpama itu. 

“Sedih juga sebab kena menanti lagi. Kalau boleh saya nak teruskan Sabtu esok sahaja sampai habis tetapi bukan saya yang tentukan. 

“Peguam saya turut cuba meminta tarikh lebih awal seperti tarikh paling awal November tetapi pendakwa raya tidak dapat tarikh itu kerana tarikh mereka penuh disebabkan pendakwa raya dari Putrajaya. 

“Oleh itu, kami bersetuju meneruskan perbicaraan ini pada Disember,” katanya. 

Terdahulu, Majistret Nur Asyraf Zolhani memberitahu prosiding hari keempat ditangguhkan dan akan disambung semula pada 20 hingga 22 Disember depan. 

Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim didakwa atas 11 pertuduhan membabitkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp. 

Semua kesalahan itu didakwa berlaku ke atas seorang wanita Melayu di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *