Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bakal mengangkat sumpah Ketua Menteri (KM) yang baharu, tatkala beberapa pemimpin peringkat negeri kecewa dengan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang tidak diumumkan beliau sendiri.

Sebaliknya peletakan jawatan Sulaiman diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sambil sumber Ibu Pejabat UMNO mengesahkan nama Ab Rauf dimaklumkan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Surat peletakan jawatan Sulaiman sebagai KM Melaka juga menjadi tanda tanya apabila ia sepatutnya diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri, kerana beliau adalah ketua pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber memberitahu, dia tidak dapat mengulas mengenai surat yang dikatakan diserahkan kepada Zahid, namun mengesahkan Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara akan dilantik sebagai KM baharu.

“Semua Ketua UMNO bahagian di Melaka telah diarah menerima keputusan (peletakan jawatan Sulaiman) dan pelantikan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri baharu.

“Saya tidak tahu sebab Sulaiman meletak jawatan. Tapi arahan kepada UMNO negeri adalah menerima siapa sahaja yang dilantik,” katanya mengulas desas-desus Ab Rauf bakal menjadi KM Melaka ke-14.

Bagaimanapun, difahamkan ada satu nama lagi yang boleh memberi kejutan yang juga disebut layak untuk diangkat sebagai KM Melaka ke-14.

ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, yang berusia lewat 30-an, adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, dan turut dikaitkan dengan jawatan KM Melaka.

Pada pemilihan UMNO 19 Mac lalu, beliau menewaskan penyandang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Rais juga kini merupakan pengerusi jawatankuasa pendidikan, teknologi dan telekomunikasi Melaka.

“‘Dia bersih dan merendah diri serta digemari oleh semua kaum,” kata sumber.

Bagaimanapun, Ab Rauf yang dikenali sebagai orang kuat Zahid sudah pasti menjadi pilihan utama untuk diletak sebagai calon KM baharu.

Semalam, Zahid mengesahkan peletakan jawatan Sulaiman selepas pelbagai spekulasi berhubung kemelut politik dalaman parti di negeri tersebut kebelakangan ini.

Zahid berkata Sulaiman menyerahkan surat itu ketika pertemuan di Parlimen, kelmarin.

Spekulasi Ab Rauf bakal menjadi KM Melaka tercetus sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021 lalu, namun selepas Barisan Nasional (BN) menang, beliau diketepikan sebaliknya Sulaiman mengangkat sumpah sebagai KM ke-13.

Rauf yang juga ketika itu adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) didakwa menjadi watak utama dalam krisis politik Melaka apabila bertindak membubarkan DUN sehingga memberi laluan kepada PRN.

Dalam pada itu, Rauf juga didakwa menjadi punca utama kepada tindakan penarikan sokongan empat ADUN diketuai Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) yang tidak berpuas hati kerana dikatakan mengawal Sulaiman.

Sulaiman didakwa mengikut telunjuk Rauf disamping lemah dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri. AD

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *