Selepas disaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial, Datuk Lokman Noor Adam pula memfailkan tuntutan balas terhadap perdana menteri itu.

Lokman, 49, yang memfailkan tuntutan balas itu pada 11 Okt lepas, mendakwa beliau telah memadam kesemua video yang didakwa memfitnah Ismail Sabri di akaun media sosialnya,

Dakwa Lokman, beliau telah mengalami kerugian dari segi pendapatan yang sepatutnya boleh dijana sekiranya penerbitan video tersebut terus berada di saluran media sosial berkenaan, dan beliau menuntut ganti rugi am, faedah serta kos.

Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada mahkamah supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok miliknya.

Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov ini.

Sementara itu, Lokman menerusi pernyataan pembelaannya yang difailkan pada tarikh sama (11 Okt), menafikan video berkenaan memfitnah Ismail Sabri, dan bukan diterbitkan dengan berniat jahat.

Ismail Sabri selaku plaintif dalam jawapan kepada pembelaan yang difailkan pada 25 Okt lepas, mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat oleh defendan (Lokman) sebelum Pilihan Raya Umum, bertujuan untuk merosakkan karier politiknya selain plaintif memohon supaya tuntutan balas defendan ditolak oleh mahkamah.

Pada 8 Sept lepas, Ismail Sabri, 62, selaku plaintif menyaman Lokman, 49, selepas mendakwa defendan pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

Menurut Ismail Sabri dalam pernyataan tuntutan itu, kata-kata fitnah tersebut antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO, untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

Naib Presiden UMNO itu berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO, untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Pada 1 Sept 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.

— BERNAMA

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *