Jika sebelum ini lantang membantah penutupan sementara Kelab Komedi Crackhouse, Datuk Afdlin Shauki akhirnya akui tidak boleh menerima tindakan pelawak di kelab itu yang terbukti melanggar sensitiviti agama.

Beliau berpandangan demikian selepas tular satu hantaran memaparkan seorang pelawak solo lelaki meminta bantuan penonton wanita Melayu bertudung membuka tin arak miliknya.

Menurut Afdlin, berdasarkan paparan tangkap layar itu dia dengan tegas mengecam apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

“Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima dan pada ketika ini, informasi ini membuat abang tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka,” katanya di Facebook.

Pelakon dan pengarah itu berkata biarpun perbuatan itu hanya dilakukan segelintir pelawak namun jika berterusan akan menjadi barah.

Katanya, perbuatan pelawak solo lelaki yang meminta penonton beragama Islam membuka tin arak membuatnya berasa jijik sekali gus tidak boleh lagi menyokong kelab komedi tersebut.

“Walaupun sokongan saya sebelum ni hanya bertujuan untuk kesinambungan rezeki pelawak-pelawak yang kebanyakannya mempunyai lawak berkualiti dan tak menghina sesiapa.

“Sekarang ini nasihat saya pada pelawak-pelawak stand up cari dahulu tempat alternatif untuk mencari rezeki pasal benda ni takkan selesai awal dan seharusnya kita biarkan pihak berkuasa buat kerja mereka dan jika mereka disabit kesalahan, mereka mestilah menerima pembalasannya.

“Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa di lindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki korang terus murah,” katanya.

Sebelum ini, arahan penutupan operasi Kelab Komedi Crackhouse mendapat bantah beberapa artis diantaranya pelakon Sharifah Amani dan Azhar Sulaiman.

Kelab Komedi Crackhouse disita dan digantung operasinya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 Julai lalu.

Ia kerana kelab itu tidak mempunyai lesen hiburan selaras Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton di kelab komedi itu selepas mendakwa dirinya sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.