PIHAK penganjur dan pengurusan sebuah premis yang akan menganjurkan aktiviti hiburan dihadiri kumpulan ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan di premis berkenaan di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini, akur untuk membatalkan program terbabit.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata keputusan membatalkan program itu dicapai dalam pertemuan antara penganjur dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, petang tadi.
Menurutnya, terdahulu pihaknya telah mengesan satu video tukar berkenaan penganjuran program yang akan dihadiri kumpulan berkenaan yang memaparkan imej tidak sopan dan bertentangan norma masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, promosi berkaitan program itu telah menimbulkan reaksi tidak menyenangkan serta kecaman daripada seluruh lapisan masyarakat.
“Semakan sehingga jam 4 petang tadi, terdapat 60 laporan polis diterima yang membantah penganjuran program berkenaan. Polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara.
“Sehubungan itu, pada jam 2.30 petang tadi, pihak IPD Wangsa Maju telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur dan pengurusan premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu amaran keras telah diberikan kepada pihak penganjur agar program itu tidak diteruskan dan dibatalkan.
“Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti seperti yang tular itu akan diadakan.
“Polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang,” katanya.
Menurutnya, pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis KL ditalian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.