Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mempertahankan tindakan beliau berada di luar negara ketika kawasannya teruk dilanda banjir.

Hasanuddin menjelaskan, beliau sentiasa mengikuti perkembangan banjir yang sedang berlaku di kawasan Parlimennya dan berusaha untuk mendapatkan penerbangan pulang ke tanah air secepat mungkin.

“Saya telah mengarahkan petugas-petugas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Saya sedang berusaha mendapatkan penerbangan secepat mungkin untuk balik ke tanah air,” katanya kepada Astro AWANI dalam kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Menjawab tanda tanya mengenai lawatannya ke luar negara, Hasanuddin menjelaskan, perkara itu sudah dirancang lebih awal.

Pada Isnin, Hasanuddin dikecam teruk oleh pengguna media sosial apabila memuat naik gambar berada di ketinggian 5,000 kaki di Gunung Tochal di Iran pada 18 Disember lalu.

Ada antara pengguna media sosial mencadangkan agar Hasanuddin terus berada di Kashmir dan tidak lagi pulang ke Malaysia.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *