ADUN Air Itam mohon maaf isu dekorasi replika lembu

GEORGETOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang memohon maaf berhubung dekorasi replika lembu yang memakai samping serta songkok di Bulatan Jalan Air Itam di sini.

Dekorasi tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai khususnya umat Islam yang menyifatkan ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Joseph berkata, pihaknya tidak berniat untuk menggores sensitiviti mana-mana pihak dan memohon maaf selepas ramai pihak tampil menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

“Saya memohon maaf sekiranya dekorasi itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya umat Islam. Kita tidak mempunyai niat terutamanya dalam mengekalkan keharmonian yang sedia terjalin di antara pelbagai kaum di Pulau Pinang.

“Berkaitan kontroversi yang tular di media sosial berhubung hiasan di Bulatan Jalan Air Itam semalam (Isnin), pihak kami memohon maaf atas kekhilafan yang dicetuskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Joseph berkata, pihaknya telah menurunkan hiasan tersebut pada Isnin selepas isu tersebut tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet termasuk menyifatkan sebagai menghina umat Islam.

Pada Isnin, tular di media sosial mengenai dekorasi Hari Raya Aidilfitri di Bulatan Jalan Air Itam yang memaparkan seekor lembu memakai samping serta songkok.

Joseph berkata, umumnya setiap kali musim perayaan, pihaknya akan meletakkan perhiasan mengikut tema perayaan di lokasi berkenaan.

“Setiap kali perayaan, kita akan meletakkan hiasan di bulatan tersebut, bagaimanapun kelalaian yang dibuat tanpa apa-apa niat buruk telah menyentuh sensitiviti rakan-rakan Muslim di sini.

“Oleh itu, dengan rendah diri, saya memohon maaf sekali lagi selain mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas apa yang berlaku,” katanya.

▶️Sinar Harian

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.