SEORANG lagi pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes pengambilan pekerja asing.
Difahamkan penahanan membabitkan Setiausaha Sulit menteri berkenaan yang ditahan pada jam 2.30 pagi tadi membabitkan isu pengambilan pekerja asing selepas pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar direman kelmarin berhubung isu sama.
Menurut sumber, suspek direman selama empat hari bagi siasatan lanjut berhubung siasatan dilakukan dan terdapat kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan lain dilakukan.
“Reman suspek akan dilakukan empat hari bermula hari ini bagi tujuan siasatan,” kata sumber yang dipetik oleh laporan Harian Metro, hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga mengesahkan mengenai penahanan itu.
Terdahulu Sivakumar dalam satu kenyataan semalam mengesahkan mengenai penahanan seorang pegawai daripada pejabatnya oleh SPRM.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut berhubung kes itu kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Pegawai berkenaan dipercayai menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.
Sivakumar menegaskan pihaknya dan kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan.