Pemuda Umno Kelantan mendesak partinya memutuskan kerjasama politik dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta.
Perwakilan Pemuda Umno Kelantan Wan Mohamed Rasman Hassan berkata, desakan itu memaksa semua Menteri dan Timbalan Menteri Barisan Nasional (BN) yang berada dalam Kabinet meletakkan jawatan serta-merta tanpa perlu menunggu Parlimen dibubarkan.
“Kami sebulat suara menyatakan pendirian pada hari ini bahawa kami mahu kepimpinan pusat memutuskan terus hubungan dengan kerajaan PN dengan serta-merta.
“Tidak perlu tunggu PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), putuskan segera. Kita bukan nikah mutaah, tiada tempoh untuk bercerai, kita ni janda kaya menjadi rebutan.
“Pemuda Umno pernah didesak untuk menjadi anak jantan. Maka hari ini, kami tuntut dan desak semua Ahli Parlimen Umno letak jawatan dalam Kabinet dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan).
“Jadilah anak jantan seperti Pengerusi Perhubungan kami (Datuk Ahmad Jazlan Yaacob) tanpa rasa takut dan gentar,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pemuda di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, Umno telah dilayan dengan teruk dalam PN dengan menafikan beberapa haknya sehingga membantutkan usaha dalam membantu rakyat dan membangunkan negara.
“Sebagai jurucakap suara Pemuda Umno dari Kelantan, saya tidak perlu takut untuk menyatakan sesuatu yang benar demi perjuangan dan kelangsungan perjuangan parti.
“Tanggapan kita, apabila menjadi sebahagian dalam kerajaan, Umno akan dilayan dan mempunyai akses bagi menterjemahkan dasar serta asas kepada intipati perjuangan Umno iaitu untuk membela rakyat, menyantuni dan memagari setiap perkara yang membabitkan kepentingan Umno.
“Tetapi ini tidak menjadi kenyataan. Umno diberi hak dalam kerajaan tetapi peranan yang diberi tidak menepati aspirasi dan kehendak terhadap perkara asas dan pokok serta tujuan Umno itu sendiri, maka bagi saya lebih baik berada di luar daripada bersama yang akhirnya rakyat akan hilang kepercayaan kepada parti Umno,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua ahli Umno supaya tidak gentar untuk memutuskan hubungan dengan PN kerana yakin akar umbi turut bersama-sama menyokong keputusan itu.
“Yakinlah pada parti kita. Umno adalah parti tunggal terbesar. Akar umbi masih lagi yakin tetapi malangnya sebahagian pemimpin kita telah hilang kepercayaan kepada parti.
“Mengapa tiba-tiba pada hari ini, pemimpin kita yang hilang keyakinan sehingga ke hulu ke hilir untuk menagih simpati terus menjadi penumpang kepada parti yang jelas menjadi pengkhianat kepada kita,” katanya. – MP