SELANGOR tidak membenarkan masjid dan surau di negeri itu menggunakan khidmat imam luar negara sepanjang Ramadan ini, melainkan mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Justeru, Exco Agama Islam Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata pentadbir masjid, surau dan musolla di Selangor perlu menggunakan khidmat imam lantikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.
“Solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan membaca surah atau ayat-ayat pendek.
“Pelaksanaan tazkirah hendaklah dilaksanakan selepas selesai solat sunat tarawih oleh penceramah bertauliah dan tempohnya tidak melebihi 20 minit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan solat fardu, solat Jumaat dan aktiviti program melibatkan masjid dan surau dibenarkan dengan kapasiti penuh mengikut syarat ditetapkan.
Katanya, berikutan peralihan fasa endemik Covid-19 yang sedang dilalui ketika ini, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
“Selain itu, individu yang mempunyai gejala atau kurang sihat tidak digalakkan hadir ke masjid dan surau,” katanya.