Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan janji yang dibuatnya beberapa tahun lalu apabila beliau berkata harga petrol akan turun pada hari berikutnya selepas pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun penurunan harga petrol itu tidak berlaku selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-14 pada 2018.

Sambil mengambil maklum kritikan yang dilemparkan kepadanya kerana membuat janji itu pada 2008, Anwar menjelaskan bahawa punca beliau tidak dapat menunaikan janji itu adalah kerana beliau tidak pernah berpeluang menjadi perdana menteri (PM).

Pada 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai PM manakala isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi timbalan perdana menteri wanita pertama negara.

“Ramai orang mempersendakan apa yang saya katakan sebelum ini… ‘kita menang hari ini, harga petrol akan turun esok’.

“Mengapa ini tidak berlaku? Kerana saya tidak dilantik sebagai perdana menteri. Apa yang boleh saya lakukan?

“Tetapi apa yang mereka (kerajaan) boleh lakukan sekarang ialah sekurang-kurangnya mengurangkan harga minyak masak. Memandangkan harga (tinggi) minyak sawit, tidak ada sebab harga minyak masak tidak boleh diturunkan.

“Kenapa? Kerana mereka yang berada di atas hanya menjaga diri sendiri dan mereka tidak memikirkan tentang kita yang lain,” katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir kongres nasional PKR ke-16 di Shah Alam, hari ini.

Ucapan penggulungan pemimpin PKR pada kongres berkenaan disiarkan secara langsung dalam media sosial parti itu.

Selain itu, Anwar berjanji untuk menolak sebarang kerjasama dengan pengkhianat dan mereka yang tidak menyokong agenda reformasi.

Pada sidang media kemudian Anwar berkata beliau telah mengambil pengajarannya semasa PH membentuk kerajaan, yang menyaksikan beberapa siri pengkhianatan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan.

“Sebagai Keadilan, peranan kita adalah untuk mengukuhkan PKR dan gabungan PH. Apabila bercakap mengenai perbincangan dengan orang lain, ia tidak menghalang saya kerana saya Ketua Pembangkang dan saya perlu bercakap dengan setiap ahli pembangkang,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.