AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan persepsi yang melihat dirinya ‘tidak mesra’ kerajaan kerana ‘lantang’ bersuara di Dewan Rakyat.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen yang diberikan mandat oleh rakyat, beliau hanya menjalankan tanggungjawab semak dan imbang
“Wartawan tanya, kenapa saya dilihat ‘tidak mesra’ kerajaan sedangkan duduk di blok kerajaan?
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen. Walaupun menyokong Kerajaan Perpaduan, tetapi bukan bermakna saya tidak boleh bersuara demi kebaikan rakyat serta negara,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata dengan memainkan peranan semak dan imbang ia akan membantu kerajaan ke arah tadbir urus baik atau ‘good governance’.
Walaupun saya menyokong kerajaan, ini tidak bermaksa saya perlu menyokong 100 peratus dasar yang diformulasikan.
“Malah, sebagai parti yang menyokong kerajaan memerintah saya tetap perlu menjalankan tugas (semak dan imbang). Inilah kerja Ahli Parlimen.
“Saya tidak rasa kita ke sini (Dewan Rakyat) untuk menjadi ‘yess man’. Ia mesti ada semak dan imbang dalam kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Ka Siong dilihat antara Ahli Parlimen yang ‘lantang’ membawa isu berkaitan rakyat termasuk isu bekalan telur dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) .
Malah, beliau turut mendedahkan menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, baru-baru ini.