Zuraida Kamaruddin berharap pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob nanti akan dapat memberi hasil yang baik sekurang-kurangnya dapat kekal menjadi Menteri.

Ahli Parlimen Ampang itu yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata masih menunggu tarikh untuk berjumpa Ismail Sabri dan berharap jawatan sebagai Menteri dapat dikekalkan bagi meneruskan semua perancangan kementerian yang diterajuinya dapat disempurnakan.

“Perdana Menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan). Saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (Menteri).

“Untuk habiskan program atau perancangan yang saya mulakan dan untuk stabilkan negara,” katanya dipetik laporan Harian Metro.

Khamis lalu, media melaporkan Perdana Menteri akan bertemu Zuraida minggu depan bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Pada 26 Mei lalu Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai PBM.

Zuraida menjelaskan langkahnya menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

Terdahulu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ismail Sabri berhak untuk menentukan individu yang akan dilantik bagi menggantikan jawatan yang disandang Zuraida.

Muhyiddin menjelaskan lantikan Zuraida sebelum ini sebagai Menteri sebelum adalah atas kapasitinya sebagai ahli parti tersebut, bagaimanapun terserah kepada Ismail Sabri untuk membuat keputusan berhubung jawatan tersebut.

“Jadi apa pun saya dah beritahu bahawa dari segi pendirian kita Datuk Zuraida dahulu duduk di situ ialah atas kapasiti dia sebagai ahli Bersatu.

“Dan memang pun semenjak saya dulu pun sampailah ke hari ini ialah kuota tapi keputusan untuk melantik siapa itu hak Perdana Menteri,” katanya.

Namun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan nama calon baharu bagi jawatan menteri tersebut akan dikemukakan untuk Ismail Sabri membuat pertimbangan sewajarnya.

“Dan bila itu kita akan mencalonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida disitu,” jelasnya lagi. AD

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.