Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memuatnaik satu hantaran di Facebooknya seolah-olah memberi gambaran beliau berdepan kesukaran dalam usaha memastikan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown dikuatkuasakan sebaiknya.

“Saya dah tutup pintu depan tapi…….,” tulisnya sambil memuatnaik sekeping foto beliau sedang menutup pintu di pejabatnya.

Hantaran itu dengan pantas mendapat ribuan komen dan perkongsian daripada pengikutnya serta netizen di media sosial.

Rata-rata netizen memberi respon positif dengan memberikan kata-kata bahawa Menteri Kanan (Keselamatan) itu telah membuat yang terbaik untuk mengekang penularan Covid-19 menerusi sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa sehingga 14 Jun ini.

Pada masa sama, rata-rata netizen membuat tekaan serta spekulasi terhadap siapa hantaran tersebut ditujukan oleh Naib Presiden Umno berkenaan.

Semalam Pemuda Umno memohon Ismail Sabri Yaakob dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menilai secara terperinci semua syarikat dan kilang yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi sepanjang ‘total lockdown’.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia bagi memastikan semua syarikat dan kilang tersebut benar-benar termasuk dalam 12 kategori ‘Essential Services’ yang dibenarkan.

Beliau berkata, setakat ini dilaporkan 95,142 syarikat telah diluluskan untuk beroperasi sepanjang ‘lockdown’ hingga 14 Jun ini yang mana jumlah itu disifatkan terlalu besar.

Semalam juga Ismail Sabri mengarahkan semua kilang arak di seluruh negara ditutup serta-merta sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa.

Terdahulu, pelbagai pihak mempersoalkan bagaimana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan kilang arak di Shah Alam beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh yang mula berkuatkuasa hari ini.

Antara yang meminta penjelasan Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuklah pemimpin Umno, Amanah serta PAS kerana ia bukan perkhidmatan perlu atau ‘essential services’.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kesemua sektor perkilangan ditutup kecuali 12 kategori sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0 ini. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *