Ketika masih dalam buruan pihak berkuasa, video kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau popular disapa Nur Sajat, sekali lagi tular di media sosial.
Tidak dapat dipastikan bila video itu dimuatnaik, namun kali ini ia memaparkan pengakuan usahawan kosmetik berusia 36 tahun itu seolah-oleh berniat menukar agama.
Disebabkan isunya besar dan bagi mengelakkan tersalah petik, berikut adalah salinan penuh daripada perkataan yang diluahkannya dalam klip video berdurasi 1 minit 48 saat itu.
“Saya baca, tak salah kita buat research (kajian) agama lain kan? Sebab kita tak ada buat apa-apa, lepas itu orang nak salahkan kita teruk.
“Lepas Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) keluarkan statement (kenyataan) itu, saya dah malas nak fikir.
“Saya cakap ini bukan saya nak mengugut ke tak. Secara sumpah demi nama saya, nama ayah saya, nama mak ayah saya, saya dah taknak menjadi orang Islam (sambil menggelengkan kepalanya dalam klip video itu).
“Saya keluar daripada agama Islam. Itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul.
“Mereka yang buat saya jadi saya nak keluar daripada Islam. Saya tak main-main, saya cakap betul.
“Mereka yang buat saya nak keluar daripada Islam. Mereka buat saya lebih jauh daripada Islam…dengan benda yang macam ini, dorang (mereka) buat saya, mungkin dorang (mereka) ingat dorang (mereka) boleh bagi iktibar…bukan.
“Saya lebih takut dan saya rasa lebih baik keluar daripada agama ini. Sebab saya lahir pun dalam Islam dan saya ikut sahaja apa yang mak saya ajar, saya buat.
“Rupa-rupanya…tak tahulah,” katanya.
Terdahulu, polis Selangor bersedia bekerjasama dan membantu Jais mengesan Nur Sajat.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya bersedia membantu Jais mengesan Nur Sajat yang menghilangkan diri, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Shahzihan Ahmad berkata, Jais dan Polis Selangor sentiasa bekerjasama bukan sahaja dalam menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah, sebaliknya dalam semua perkara.