SANGGUPKAH Umno yang dicurangi PAS dengan menyertai Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) untuk kembali bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin.

Ini kerana PAS ketika ini seakan cuba menghidupkan semula kerjasama dengan Umno apabila menyatakan Barisan Nasional (BN) bukan musuh utama parti itu.

“PAS sedang berusaha merayu untuk bersama kembali dengan Umno yang telah memberi kata dua pada PAS kerana “menduakannya” dengan hubungan curang dua kolam dengan Bersatu.

“Pada masa sama, ahli Umno yang amat terluka atas kecurangan PAS menduakannya, menyoal apakah kekebalan PAS dari dosa bermain cinta dua kolam sekarang dan dahulu meniup kebencian menjatuhkan hukum kafir kepada ahli Umno pada 1981?

“Sanggupkah ahli Umno khususnya di Terengganu yang menjadi sasaran utama hebat takfiri dari PAS kembali bersekedudukan bersama yang kini berlaku curang dengan Bersatu?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, tidak semudah itu untuk ahli Umno yang telah terguris menerima PAS semula, apatah lagi dosa lama Tan Sri Abdul Hadi Awang mengkafirkan mereka masih tiada permohonan maaf daripada Presiden PAS itu.

“Adakah begitu mudah berlaku curang sekali lagi pada “suami” Umno sekarang dengan bersekedudukan dengan Bersatu tanpa meminta maaf dosa lama amanat Haji Hadi dalam isu kafir ke atas Umno dahulu?

“Adakah begitu mudah PAS menghapuskan dosa lamanya tanpa meminta maaf kepada Umno dengan hanya memadam amanat Haji Hadi dari portal JAKIM setelah menjadi kerajaan dan menjadi Menteri Agama?” soalnya.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Presiden PAS telah menuduh PH sebagai tidak beriman dan Umno pula “kafir”, sementara Mursidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, pulak menyeru semua parti majoriti orang Islam “bersatu” dengan PAS.

“Ramai hairan bagaimana amanat Banggol Peradong oleh Abdul Hadi yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai ajaran sesat telah hilang dipadam begitu sahaja dari portal dan kini keluar pula tuduhan baru ahli PH tidak beriman pula walaupun ramai kami dalam PH beragama Islam.

“Tidak hairanlah Umno Terengganu telah memutuskan untuk bergerak solo untuk menjatuhkan PAS di Terengganu,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *