TUMPAT – Pasangan suami isteri warga emas terselamat dalam kebakaran rumah yang dipercayai akibat perbuatan khianat jiran yang melontar bahan api ke rumah mereka di Kampung Geting di sini, pada Khamis.

Kejadian berlaku pada jam 4.30 pagi ketika kedua-dua mangsa yang berusia 75 tahun itu berada di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, mangsa yang menyedari sebahagian rumahnya terbakar segera menyelamatkan diri.

“Sebelum api marak, mangsa nampak kelibat seorang lelaki membaling satu objek disyaki bahan api ke arah bumbung rumahnya.

“Mangsa mengenali lelaki itu yang juga jirannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Amran berkata, mangsa hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta, manakala peralatan dan perabot dalam rumah semuanya musnah.

“Rumah mangsa hangus terbakar secara keseluruhannya.

“Mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM350,000,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas hasil risikan, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat berjaya menahan suspek berusia lingkungan 30-an.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dengan niat hendak membinasakan rumah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, permohonan reman ke atas suspek akan dikemukakan pada Jumaat bagi membantu siasatan.

  • Sinar Harian

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.