GUA MUSANG: UMNO perlu menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya mahu kembali menerajui pentadbiran negara.

Pandangan itu diluah veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang melihat parti keramat Melayu itu dilihat sudah tiada kekuatan sebagaimana sebelum ini.

“Kita (UMNO) kena bekerjasama dengan orang lain kerana kita tiada lagi kekuatan seperti dulu. Saya sudah cakap dulu kita mempunyai 13 rakan dalam parti. Tetapi sekarang banyak daripada anggota-anggota yang pernah menjadi rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) sudah tarik diri.

“Jadi kekuatan dah hilang dan parti-parti yang masih kekal dengan kita sudah tidak ada kekuatan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Brooke, di Pos Brooke di sini semalam.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, UMNO juga sedang berdepan dengan pelbagai isu sehingga pemimpin lain sudah tidak mampu bertemu dan menjawab persoalan rakyat.

Katanya, lebih menggusarkan lagi apabila terdapat dalam kalangan pemimpin parti mempunyai masalah dengan mahkamah dan ada yang sudah berdepan dengan tindakan.

“Jadi mana kekuatan kita, orang kita nak masuk kedai kopi pun takut. Masuk kedai kopi diejek orang dan sebagainya.

“Kita nak solo? Baguslah kita jadi solo kalau kita kuat. Jika nak berkempen mengenai parti kita perlu bersedia dan jawab banyak soalan yang ditimbulkan oleh rakyat jadi mana kekuatan kita,” katanya.

Tengku Razaleigh juga berkata, cadangan untuk membawa masuk pemimpin yang terlibat kes rasuah bertanding pada PRU15 bakal menimbulkan banyak polemik.

“Saya tak ada kuasa nak menentu (pemimpin terlibat kes rasuah), tetapi kalau kita pandang dari segi umumnya tak layaklah.

“Kita mungkin menjejaskan imej parti itu sendiri dan jadi bahan ketawa serta percakapan orang. Saya rasa kita ada ramai orang lain lagi yang boleh dikemukakan,” ujarnya.- UTUSAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *