Kerajaan menyeragamkan waktu operasi perniagaan bagi kesemua sektor yang dibenarkan sehingga 10 malam bermula esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebelum ini hanya restoran dan kedai makan sahaja dilanjutkan sehingga had waktu tersebut.

Walau bagaimanapun, kata beliau, setelah penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk turut membenarkan sektor lain yang dibenarkan beroperasi sebelum ini seperti kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makanan haiwan, pusat dobi dan kedai cermin mata kepada 10 malam berbanding 8 malam sebelum ini.

“Penyeragaman waktu ini (perlu) kerana banyak kekeliruan sehingga menyukarkan penguatkuasaan operasi pematuhan oleh pihak berkuasa kerana berbeza waktu, banyak juga permohonan untuk melanjutkan tempoh itu.

“Setelah dibuat penilaian risiko Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju melanjutkan waktu perniagaan bagi semua sektor perniagaan yang dibenarkan itu sehingga 10 malam. Ini juga memudahkan penguatkuasaan polis dan pasukan task force operasi pematuhan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan turut membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaiannya melibatkan pembalakan dan sebagainya untuk beroperasi seperti biasa bermula esok.

Beliau menjelaskan, oleh kerana masih ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kerajaan sedang menggubal Ordinan Darurat untuk meningkatkan lagi kompaun terhadap individu serta syarikat termasuk pertambahan hukuman jika dibawa ke mahkamah.

Justeru, katanya, rakyat diingatkan agar tidak perlu tunggu sehingga diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana apa yang lebih penting disiplin diri mematuhi SOP yang bukan dibuat untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya memastikan kesihatan rakyat terjaga.

Beliau pada masa sama berkata, walaupun kerajaan membenarkan sektor perniagaan beroperasi sehingga 10 malam, semua rakyat diingatkan untuk kekal di rumah jika tidak ada keperluan bagi mengelak risiko jangkitan wabak itu dan mematuhi SOP jika perlu keluar rumah.

“Polis kini tidak lagi berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar SOP dan tindakan tegas akan diambil tidak kira di mana kesalahan itu dilakukan sama ada di kampung atau di bandar kerana kesalahan tetap kesalahan.

“Begitu juga sekatan rentas negeri tidak dibenarkan kerana kita dapati ada berlaku kes melibatkan kluster balik kampung, jadi tidak betul kalau menyatakan rentas negeri tidak menyumbang kepada kenaikan kes Covid-19,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.