Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria dipilih sebagai ketua pembangkang mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Razman yang juga Timbalan Pengerusi 1 PN Perak merangkap Pesuruhjaya Pas negeri berkata gabungan itu akan memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang terhadap Kerajaan Perak.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Perikatan Nasional dan Pas di peringkat pusat serta PN Perak yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai barisan Ahli-Ahli DUN PN sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

“Insya-Allah, PN Perak akan memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang kerajaan gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH),” katanya menerusi satu kenyataan pada laman Facebook beliau pada Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Razman berjaya mempertahankan kerusi DUN Gunung Semanggol dengan meraih 12,825 undi dengan majoriti 7,446 dalam saingan tiga penjuru.

Komposisi DUN Perak mempunyai 59 kerusi dan daripada jumlah itu PH dan BN yang berada di blok kerajaan masing-masing memiliki 24 dan sembilan kerusi, sementara PN memenangi 26 kerusi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 21 November.

Persidangan DUN Perak ke-15 dijadual akan berlangsung pada 19 Disember ini dengan pembentangan Bajet 2023 serta perbahasan berkenaan enakmen peruntukan larangan ahli Dewan melompat parti.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *