MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar mengesahkan lima pegawainya telah ditamatkan perkhidmatan bagi memastikan kementerian itu dapat berfungsi dengan lancar dan baik.
Difahamkan mereka dikaitkan dengan isu rasuah dipercayai membabitkan pengambilan pekerja asing yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.
“Itu (pemecatan lima pegawai) memang ada kerana kita nak pastikan bahawa kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kemuncak Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC OSH Summit) 2023, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu Gajah daripada DAP itu hanya mengunci mulut ketika diminta mengulas pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan supaya kelima-lima pegawainya dipecat.
Beliau juga enggan mengulas tindakan penamatan kontrak lima pegawainya walaupun mereka masih belum didapati bersalah.
Sebelum ini, media melaporkan lima pegawai Sivakumar ditamatkan kontrak, manakala seorang lagi pegawai dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Bulan lalu, SPRM menahan tiga pembantu Sivakumar, namun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat 17 April lalu.
Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan kelulusan kuota pekerja asing.