Kuala Lumpur: Lelaki warga emas cedera selepas ditembak ketika berada di sebuah restoran di Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu tengah hari tadi.

“Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari, semalam, ketika pengadu sedang membersihkan dapur restoran berkenaan.

“Pengadu berasa sakit pada bahagian ketiak dan mendapati ada kesan luka di bahagian itu sebelum melihat satu butir besi menyerupai peluru berhampiran kakinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, pengadu kemudian pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 dan Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

▶️𝗛𝗮𝗿𝗶𝗮𝗻 𝗠𝗲𝘁𝗿𝗼

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.