JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendakwa, ramai wakil rakyat pembangkang mahu melompat parti tetapi tidak berani bertindak sedemikian.

Beliau yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ramai ahli Parlimen atau ADUN yang berhasrat mengambil langkah sama kerana sedar mahu jadi wakil rakyat terbaik adalah dengan menyertai kerajaan sedia ada.

Menurutnya, wakil rakyat pembangkang sedar platform terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat adalah dengan menyokong kerajaan PN.

“Secara peribadi saya ada banyak berbincang dengan kawan-kawan ahli Parlimen atau ADUN. Ramai tahu kalau ada platform, ada peruntukan dan sumber mereka dapat bantu rakyat lebih.

“Cuma dunia ini tiada ubat berani. Kalau ada ubat berani saya rasa sudah ramai lompat.

“Mereka semua tahu arah tuju pembangkang sekarang dan masalah dalaman dihadapi, cuma tidak berani (lompat parti),” katanya kepada pemberita ketika majlis penyampaian cek peruntukan Covid-19 kepada 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Muafakat Ulu Tiram di sini pada Khamis. – SH

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *