Tajuddin Abdul Rahman akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai statusnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara terbabit kepada pemberita ketika ditanya berkenaan nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang tiada dalam senarai penerima watikah pelantikan di Istana Negara semalam.

“Tajuddin akan keluarkan kenyataan,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara.

Ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik itu ialah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Lim Juay Jin, Duta Besar Malaysia ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sebelum ini dilaporkan dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia, tiada dalam senarai penerima watikah pelantikan itu semalam.

Terdahulu media melaporkan nama Tajuddin digugurkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan difahamkan pengguguran itu kerana kerajaan ‘berubah hati’ mengenai pelantikan Tajuddin.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.