Siti Nuramira Abdullah yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam, akan dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur, esok.

Wanita itu yang hadir di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi dengan ditemani peguamnya Ramesh Chandran bagi menandatangani Borang Jamin bagi kes yang dihadapinya, ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Siti Nuramira, 26, akan dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tertuduh akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah esok,” kata peguam itu ketika ditemui media.

Semalam, Nuramira dan teman lelakinya V Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai lepas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.