Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersedia untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi bagi mewakili gabungan politik baharunya, Gerakan Tanah Air (GTA) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Parti Pejuang itu bagaimanapun mengakui ramai mahu beliau untuk menjadi calon PM sekali lagi sekiranya berjaya memenangi PRU-15, namun masih belum membuat keputusan untuk sama ada menerima atau menolak jawatan tersebut.

“Saya tidak bersedia tetapi banyak orang suruh. Jadi pada waktu ini, saya tidak buat keputusan apa-apa saya tidak tolak atau tidak terima,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Dr Mahathir terdahulu menghadiri Konvensyen Pejuangnita.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan, GTA tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti terlibat dalam rasuah dan terlibat kerajaan pintu belakang.

“Kita ada gerakan yang mencakupi empat parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang cintakan kepada tanah air ingin mengubah politik dan mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

“Jadi kita tidak akan bekerjasama dengan parti terlibat dalam rasuah dan mendirikan kerajaan pintu belakang,” katanya.

Mengulas perkembangan pendaftaran GTA, Dr. Mahathir memberitahu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberi maklum balas status pendaftaran itu pada bulan depan.

Namun beliau berharap pendaftaran gerakan itu diluluskan segera sebelum PRU15.

“Jangan sehari sebelum bubar Parlimen, kita tiada masa untuk gerakan kerja sebelum PRU-15 nanti,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.