KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan pertemuannya dengan Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam hanya perjumpaan biasa dan tidak mempunyai hubung kait dengan politik.

Nik Mohamad Abduh berkata, hasrat bertemu pemimpin nombor satu negara itu dinyatakan melalui seorang kenalan sebelum Ramadan namun tidak dapat direalisasikan kerana jadual Perdana Menteri terlalu ketat.

Menurutnya, peluang tersebut muncul apabila Perdana Menteri ke negeri ini untuk merasmikan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

“Semasa menjadi Ahli Parlimen saya selalu selalu jumpa dengan beliau (Anwar) di Dewan Rakyat. Namun sejak beliau menjadi Perdana Menteri saya tidak lagi bertemu dengan beliau.

“Saya bertemu dengan beliau dengan Anwar selepas selesai menunaikan solat Maghrib. Pada pertemuan itu, saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan mendoakan semoga Datuk Seri dapat jalankan tugas dengan baik sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Asar di Masjid Pulau Melaka di sini hari ini.

Nik Mohamad Abduh memberitahu, pada pertemuan tersebut beliau turut membawa ‘amanah orang’ untuk disampaikan kepada Perdana Menteri..

Katanya, beliau bertuah dapat bertemu dengan Anwar selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Mengulas mengenai pertemuan dengan abang Nik Omar semasa berjumpa Anwar, Nik Mohamad Abduh menyifatkan perjumlah tersebut secara kebetulan.

Katanya, semasa berjumpa Anwar abangnya dari Kuala Lumpur dan mereka bertemu di situ.

“Dia (Nik Omar) datang nak jumpa Perdana Menteri. Saya sudah menjangkakan gambar pertemuan itu akan tular kerana ramai yang mengambilnya (merakam).

“Sebab itu saya enggan memberi sebarang ulasan,” katanya.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, tular poster anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh sebagai calon Menteri Besar Kelantan mewakili Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ia selepas gambar pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Nik Mohamad Abduh dan abangnya, Nik Omar tular semalam.

Selain itu, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu yang digugurkan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) turut menguatkan spekulasi tersebut menuju persiapan PRN.

Dalam poster itu, tertera tulisan ‘Nik Abduh Nik Aziz calon Menteri Besar Kelantan’ dan ‘Kelantan Membangun Bersama Perpaduan’ selain terdapat logo Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, gambar Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan dua anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz itu dalam media sosial sekali gus menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen. – UTUSAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *