Gara-gara pasangan selebriti sensasi Neelofa dan Haris Ismail tidak didakwa atas kesalahan rentas negeri, netizen hari ini mula membuat spekulasi bahawa daerah Nilai 3 berada dalam Selangor.

Perkara tersebut hangat diperdebatkan netizen dalam media sosial sejak semalam.

Rata-rata membuat andaian Nilai 3 yang sememangnya sebuah daerah dalam Negeri Sembilan kini bertukar milik menjadi milik Selangor kerana polis tidak mendakwa Neelofa dan Haris yang merentas negeri ke sana untuk membeli karpet.

“Sekarang ini Nilai 3 menjadi rebutan Negeri Sembilan dan Selangor, siapa yang layak?

“Kerana Neelofa, Nilai 3 sudah bertukar negeri. Luaskan jajahan mu!,” seloroh seorang netizen dalam Twitter.

Tidak cukup dengan itu, sebuah akaun Twitter milik @JurnalMil turut memuat naik sekeping poster yang meletakkan titik kawasan Nilai 3 dalam kawasan negeri Selangor.

“Geografi baru, Nilai 3 di bawah negeri Selangor,” tulis pemilik akaun Twitter tersebut.

Sehingga kini, perkara tersebut menjadi bahan gurauan netizen kerana tidak menyangka sebuah daerah boleh berubah negeri hanya kerana seorang selebriti.

Untuk rekod, pada 21 Mei lalu, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap Neelofa dan Haris.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab Rahman, berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dan keterangan yang diperoleh berhubung kes berkenaan.

Pada 2 Mei lalu, tular sekeping foto memaparkan Neelofa dan Haris berada di sebuah kedai karpet dipercayai terletak di Nilai 3. – K! ONLINE

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *