SUNGAI PETANI: Lelaki ditahan selepas mencuri tabung derma pembinaan surau sekolah daripada sebuah kedai makan di Permatang Berangan di sini petang semalam.

Kehilangan tabung derma mengandungi wang tunai RM250 yang diletakkan di kaunter bayaran di kedai itu disedari oleh seorang pekerja sebelum memaklumkan kepada majikannya.

Tabung derma itu milik Sekolah Kebangsaan Chepir, Sik dan hasil kutipan wang itu untuk pembinaan surau di sekolah berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda,Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, kejadian itu berlaku pada pukul 2.30 petang semalam semasa pekerja di kaunter bayaran itu sibuk melayan pelanggan yang membuat bayaran.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan lelaki terbabit yang berjubah dan berserban datang ke kedai itu menunggang motosikal sebelum menghampiri kaunter bayaran dan mengambil tabung berkenaan.

“Tindakan lelaki itu tidak disedari pekerja di kaunter bayaran kerana sibuk melayan pelanggan yang ramai ketika itu,” katanya.

Menurut Adzli, selepas tiga jam rakaman itu menjadi viral, seorang penghantar makanan terserempak dengan suspek sejauh lima kilometer dari lokasi kejadian sebelum bertindak menahan dan menyerahkannya kepada pihak polis.

“Penghantar makanan itu mengenali suspek berdasarkan rakaman CCTV berkaitan kejadian itu yang menjadi viral dan dilihatnya.

“Lelaki yang ditahan itu kemudiannya mengaku melarikan tabung berkenaan dan kini direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.