KLANG, 24 MAC 2023 – Lebih 20,000 penduduk Kampung Telok Gong di sini, menggesa pihak berwajib menaik taraf jalan utama di kawasan itu yang didakwa sudah meragut 20 nyawa terutama penunggang motosikal sejak lima tahun lalu.
Keresahan itu susulan jumlah kenderaan berat semakin banyak menggunakan laluan sama yang turut mengorbankan Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan dua hala itu sesak dengan kenderaan termasuk puluhan lori dan treler melaluinya.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Gong, Rosli Ismail berkata, 58, keadaan jalan sepanjang tujuh kilometer itu masih sama sejak sekian lama sedangkan jumlah kenderaan berat kian meningkat.
“Selain menaik taraf jalan sedia ada, kami memohon bonggol dan pemutus kelajuan dibina bagi mengelak pengguna memandu laju terutama kenderaan berat.
“Masa operasi kenderaan berat menggunakan laluan itu juga perlu dihadkan terutama ketika waktu puncak,” katanya ketika ditemui selepas menyertai bantahan aman di kampung itu, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama 100 penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berdekatan lokasi kemalangan menimpa Nurul Jannatun Assyifa.
Sementara itu, Azmizam berkata, beliau akan membincangkan isu berkenaan secara terperinci dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Memang diakui laluan kampung itu sentiasa sesak dengan kenderaan berat dan mengundang bahaya sekiranya tidak berhati-hati,” tegasnya. – UTUSAN