Rafizi Ramli berkata rakyat wajar memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin negara berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam pentadbiran.

Rafizi berkata, Malaysia mempunyai tiga gabungan dominan parti politik iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, ketiga-tiga gabungan itu mencalon Perdana Menteri masing-masing, iaitu Anwar mewakili PH; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN).

“Kita sudah boleh menilai prestasi calon BN dan PN kerana mereka (Ismail Sabri dan Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri semasa era kesusahan rakyat yang berpanjangan.

“Sepanjang 33 bulan mereka menjadi Perdana Menteri, kita melalui perintah kawalan pergerakan (PKP), krisis harga barang yang naik mendadak hingga harga telur dan ayam naik mendadak,” katanya menerusi video di Facebook.

Rafizi yang juga calon PH Parlimen Pandan mendakwa ketika Ismail Sabri dan Muhyiddin mentadbir negara, sebanyak 80 peratus daripada rakyat tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi mereka.

“Hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum diberi peluang. Beliau ada rekod pentadbiran yang cemerlang sebelum ini tetapi beliau digeruni orang politik kerana ketegasan beliau melawan rasuah.

“Tapi kita hanya akan tahu (kemampuan Anwar) jika kita beri peluang kepada beliau menjadi Perdana Menteri.

“Seperti kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’. Belum cuba macam mana kita nak tahu kemampuan pentadbiran beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, rakyat boleh menolak Anwar sekiranya terbukti beliau gagal memimpin negara dengan baik, selepas diberi peluang menjadi Perdana Menteri.

“Kalau sudah kenal, sudah cuba, sudah tahu barang tidak baik tapi masih lagi cinta – itu namanya gila. Tidak ada orang yang waras mahu kena scam berkali-kali.

“Saya doakan pengundi Malaysia terbuka hati untuk menguji dan merasai pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *