PADANG SERAI – Kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk memutuskan kemungkinan menurunkan harga runcit bahan api walaupun harga minyak mentah global semasa menunjukkan trend penurunan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan perlu mengambil kira banyak faktor termasuk keupayaan kewangan semasa dan peruntukan untuk aktiviti ekonomi yang mempunyai kesan berganda.

“Semua ini memerlukan kita lebih banyak masa untuk mengkaji setiap aspek kerana apabila kita menyertai mana-mana organisasi atau pentadbiran baharu sama ada dalam kerajaan atau syarikat, kita tidak hanya campur tangan dan membuang segala-galanya.

“Kita ada hala tuju tetapi perlu mengkaji dahulu…adalah bahaya jika semua menteri, selepas 24 jam pertama angkat sumpah mengumumkan ini dan itu.

“Saya fikir kita perlu mengambil satu langkah pada satu masa kerana ini bukan sesuatu seperti menguruskan syarikat sendiri tetapi kita menguruskan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat cadangan atau formula untuk menurunkan harga minyak selepas menghadiri Ceramah Mega Ayuh Malaysia di sini pada Isnin.

Jelas Rafizi, ia bukan soal formula tetapi soal keadaan ekonomi sekarang.

“Persoalannya harga minyak mentah dunia sekarang sekitar AS$83 ke AS$85 setong dan ada yang beritahu bahawa harga minyak mentah jatuh pada empat, lima bulan lepas mencapai lebih AS$100.

“Jadi bila dah jatuh adakah kita cukup untuk turunkan harga minyak, sudah tentu bagi orang yang faham tentang sektor minyak dia akan tanya soalan itu. Tapi pada masa sama kita juga kena tengok berapa sebenarnya pendapatan yang ada sekarang dan kalau nak ubah harga siling RM 2.05 seliter berapa banyak peruntukan tambahan kena buat,” katanya.

Ketika ini, harga mingguan RON95 dan Diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter manakala RON97 mencatatkan penurunan sebanyak 10 sen daripada RM3.95 kepada RM3.85 seliter.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *