KLUSTER mahkamah perlu ditolak daripada menganggotai Jemaah Menteri yang bakal dibentuk oleh Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Veteran politik yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata ini kerana ia akan memberi imej negatif kepada kerajaan baharu.

“Golongan ini tidak patut berada dalam kepimpinan kerajaan, kita sudah banyak buang masa. Sekarang adalah masa untuk mewujudkan pasukan yang cekap, mempunyai kredibiliti dan dihormati.

“Pemimpin yang mempunyai visi sama untuk membangunkan masyarakat negara,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Sementara itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) turut senada menolak pelantikan mana-mana ahli politik yang mempunyai kes mahkamah menganggotai Jemaah Menteri.

“BERSIH bimbang sesetengah pihak dan individu yang mencadangkan Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk dipertimbangkan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“BERSIH menolak dengan tegas sebarang perlantikan wakil rakyat yang sedang menjalani pendakwaan jenayah kerana ia akan menjejaskan integriti kerajaan pimpinan Anwar dan mencemarkan reputasi negara,” katanya dalam kenyataan.

Gabungn itu berpandangan, tindakan itu akan melumpuhkan keyakinan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara dan sistem kehakiman negara.

Selain Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berdepan kes mahkamah. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *