Lanskap politik negara akan sentiasa huru-hara selagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam persada politik tanah air, tegas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Beliau mendakwa, ia kerana percaturan politik jahat yang menjadi budaya pemimpin pembangkang itu.

“Era politik Anwar Ibrahim sudah berlalu serta tidak relevan lagi. Pemimpin pembangkang yang memecah-belahkan perpaduan di kalangan parti-parti pembangkang adalah Anwar Ibrahim sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Anwar yang bertanggungjawab bercakap mengenai ‘khemah besar’ dan kini membuat ‘pusingan U’ pula, menunjukkan sikapnya yang dari dulu, kini dan selamanya adalah ‘kaki penipu’ tersohor negara.

“Saya tidak faham bagaimana Anwar berkata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri?

“Bukankah Dr Mahathir berserta dengan tiga orang lagi Ahli Parlimen Pejuang menandatangani ‘Kenyataan Sumpah Berkanun’ menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri pada pemilihan yang lepas untuk makluman Istana Negara.

“Anwar adalah ‘Melayu mudah lupa’ yang berhati busuk. Beliau tidak habis-habis menuduh Dr Mahathir tidak menyokongnya untuk menjawat jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Khairuddin berkata, sesungguhnya, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak layak langsung untuk jadi Perdana Menteri.

“Saya ingin tanya Anwar Ibrahim sekiranya beliau mahu memperkuatkan Pakatan Harapan (PH), tetapi mengapa ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lepas PKR bertanding atas logo sendiri?

“Sekiranya Anwar ikhlas untuk memperkuatkan PH beliau tidak akan sama sekali memisahkan PKR dengan parti-parti PH yang lain,” katanya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.