Polis akan mengambil keterangan daripada juruterbang serta empat penumpang yang terbabit dalam insiden helikopter terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ia bagi membantu siasatan sama ada mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan pengawalan Covid-19 kerana merentas negeri.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berkaitan kemalangan terbabit termasuk mendapatkan maklumat daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

“Buat masa ini, siasatan masih berjalan. Namun saya nasihatkan kepada sesiapa yang ingin masuk ke Pahang supaya mendapatkan permit rentas negeri terlebih dulu.

“Jika gagal berbuat demikian kita akan mengeluarkan kompaun walaupun mereka melalui udara dan laut,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di Kuantan hari ini.

Majlis itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Polis Pahang.

Abdul Jalil mengulas mengenai kejadian helikopter Airbus AS350 B3 dikendalikan Leopad Aviation Sdn Bhd dari Sungai Lembing yang terhempas di LTSAAS, semalam.

Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan manakala tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.