Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, suspek itu akan diminta hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Katanya, siasatan dimulakan 13 Mac lalu ke atas pemilik akaun Facebook, Mujahidah Malaysia, yang didapati menghasut orang ramai mempertikaikan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

Video itu dikeluarkan susulan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 10 Mac lalu yang membenarkan penganut Kristian di seluruh negara menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Huzir berkata, polis mengesan beberapa kenyataan yang mempertikaikan keputusan mahkamah itu yang disifatkan menghasut dasar agama dan perkauman.

“Ini melalui klip video berdurasi 12 minit 34 saat yang dikongsikan pemilik akaun tersebut di platform media sosial Facebook.

“Klip video berkenaan telah memperolehi 9,700 respons, 5,900 komen dan 7,300 perkongsian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh menimbulkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.”

Terdahulu, Borneo Post hari ini melaporkan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.