Polis akan mengambil tindakan terhadap Neelofa dan suaminya, berhubung dakwaan pasangan pengantin baharu itu berbulan madu di Langkawi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata berdasarkan bukti video dan gambar yang dimuat naik di media sosial pasangan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Kita sedang tangani kes ini selepas ada gambar aktiviti dan kehadiran beliau (Neelofa) bersama suami (di Langkawi) telah melanggar SOP yang ditetapkan. Kita akan ambil tindakan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seksyen K9 Langkawi Polis Diraja Malaysia di Langkawi, hari ini.
Abdul Hamid berkata, pegawai penyiasat akan mengenal pasti adakah aktiviti yang gambarnya dimuat naik itu sebahagian kegiatannya perniagaannya.
“Mereka kena jawab, tapi gambar itu macam aktiviti santai-santai sahaja…. jelas ia tidak boleh dilakukan dan melanggar SOP.
“Sebabnya dia datang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.
Beliau berkata, polis juga akan memanggil saksi yang boleh membantu melengkapkan siasatan kes itu secepat mungkin.