PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob patut mengambil tauladan bencana banjir besar sekitar tahun 2014-2015.

Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin mengingatkan Ismail Sabri nasib yang menimpa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kerana mengabaikan banjir yang menenggelamkan hampir keseluruhan negeri pantai timur ketika itu  

Justeru, bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu itu berharap Ismail Sabri tidak mengikut telunjuk Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga. 

“Kita harap Ismail Sabri tidaklah gung-ho macam Ahmad Zahid dan konco-konco dia yang mahu pilihan raya cepat semata-mata kerana nak selamat. 

“Dia perdana menteri, dia tak ada kes prima facie dan dia bertanggungjawab kepada negara dan rakyat jelata. Kalau rakyat menderita atau terkorban kerana banjir sebab kerajaan sibuk dengan pilihan raya, bukan Ahmad Zahid yang tanggung tapi dia. 

“Jangan lupa penangan banjir 2014/15 terhadap Najib dalam PRU lalu. Dengan adanya media sosial, orang ramai tak mudah lupa,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda BN, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan kesediaan untuk meredah banjir sekiranya PRU ke-15 diadakan ketika musim banjir.

Jelasnya, isyarat dari akar umbi yang mahukan PRU diadakan tahun ini adalah jelas dan nyata termasuk lauangan “bubar” oleh lebih 10,000 Pemuda BN bergema di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda BN.

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut.

 “Tetapi, kalau perdana menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa.

Mengulas lanjut Kadir berkata, Ahmad Zahid bukan perdana menteri, sebaliknya hanya tertuduh yang memiliki prima facie. 

“Tetapi tentulah dia bercita-cita jadi perdana menteri selepas pilihan raya ini. Cuma kuasa cadang bubar Parlimen di tangan Ismail Sabri. Sebab itu Ahmad Zahid asak dia bertubi-tubi. 

“Kita, rakyat jelata pun hendak pilihan raya juga. Tapi tidaklah sampai menyabung nyawa meredah banjir. Sehingga 1 Ogos lalu kita pengundi ada seramai 21.1 juta. Ahmad Zahid seorang saja!,” katanya

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.