Ibu mangsa, Biey Adawiah meluahkan rasa terkilan dengan kejadian yang menimpa anaknya, Afiq dan menuntut pembunuh anaknya dijatuhkan hukuman mati.

“Entah macam mana nak mula, entah bagaimana mahu cerita. Sungguh terkilan dengan apa yang terjadi. Kita tunggu polis siasat lagi, nyawa dibalas dengan nyawa.

“Hati ibu mana yang boleh terima, kan? Hantar anak ke rumah pengasuh dalam keadaan yang sihat, balik tengok anak dah kaku. Rindu yang tiada penghujung.

“Saya nak (menuntut) keadilan untuk anak syurga saya. Seluruh ahli keluarga kami tidak boleh terima apa yang setan itu dah buat kat anak saya.

“Anak syurga ibu. Ini gambar tiga hari sebelum adik pergi. Manis leting adik senyum. Adik baru pandai lambai tangan, rupanya lambaian terakhir untuk kami. Hari ini hari lahir ibu sayang. Kita dah rancang nak sambut bersama-sama. Tetapi adik pergi dulu. Tak apa adik, ibu dah redha. Kita tunggu pengadilan untuk adik,” tulisnya.

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan meliwat seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di bawah asuhan isterinya bulan lalu.

Bagi pertuduhan membunuh, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohamed Baldaruldin Mohamed, 36, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan antara pukul 8 pagi hingga 3.30 petang di sebuah unit blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang di sini pada 27 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii pada mangsa sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah kemudian menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada 28 April daripada seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sungai Buloh.

Menurut Fakhrudin hasil pemeriksaan lanjut ke atas bayi tersebut mendapati mangsa telah meninggal dunia dan terdapat kesan pendarahan dan kecederaan di bahagian dubur.

Tambah beliau, kematian bayi berkenaan berpunca apabila mulutnya ditekup sehingga berlaku kesesakan nafas dan menyebabkan kematian.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.