Selepas sembilan bulan hilang tanpa jejak, mayat dipercayai jasad Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain ditemukan di dalam kereta yang terjunam ke sebuah sungai di Jalan Nenasi-Pekan, Pekan hari ini.

Menurut laporan Kosmo! Online, ibu mangsa Azmawati Ab. Kadir berkata, penemuan kereta jenis Nissan Grand Livina itu disedari oleh orang awam sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya terima panggilan berhubung kejadian ini pada pagi tadi, sekarang (petang tadi) pasukan penyelamat sedang menarik kereta dan mayat anak saya masih di dalam kenderaan itu.

“Memang saya sahkan, itu anak saya dan nombor kereta sudah nampak dan itu memang kereta anak saya,” katanya menerusi laporan tersebut.

Wanita berusia 54 tahun itu berkata, dia menerima segala ketentuan Ilahi selain lega akhirnya jasad Iman Aqmar yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik ditemukan setelah lama menanti penuh sabar.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki berusia 24 tahun (sewaktu kejadian) itu dilaporkan hilang sejak 29 Oktober lalu ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *