PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, selaku plaintif memfailkan saman fitnah tersebut atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lalu, dengan menamakan Lokman, 49, selaku defendan tunggal, lapor Bernama.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri, 62, mendakwa Lokman pada 22 Ogos lalu telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk ‘Bila Presiden Umno Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam’.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam’, Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan Umno untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati Umno untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Dakwa plaintif, beliau tidak pernah mengatur langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Plaintif juga mendakwa beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk mencampur tangan prosiding undang-undang terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan bekas perdana menteri itu disabitkan dan seterusnya dipenjarakan.

Menurutnya akibat kata-kata fitnah itu, reputasinya sebagai seorang ahli Umno, Naib Presiden Umno dan Perdana Menteri terjejas, membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lalu dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan memadamkan video di akaun YouTube, Facebook, Instagram serta TikTok miliknya.

Selain injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat kenyataan sama menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan dan permohonan itu akan didengar hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.