Pertuduhan yang dikenakan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah jelas pertuduhan politik, kata Setiausaha Agung parti itu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
“Maknanya jelas, ini pertuduhan politik dan merosakkan imej Bersatu dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi menutup kebobrokan sendiri untuk mengalih kegagalan kerajaan dengan cara memfitnah dan menuduh kita,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Menara PGRM di sini, hari ini.
Katanya, sejak Muhyiddin didakwa, banyak kritikan dilemparkan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama dalam soal dasar kerajaan, lapor laman web bersatu.org.
“Dalam soal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukan itu kita mahukan, rakyat sedang dalam ujian terhutang begitu banyak, dia mahu rakyat hutang sekali lagi,” katanya.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Larut yakin kerajaan sedia ada tidak bertahan lama seperti yang disangkakan.
“Penguasa zalim tidak bertahan lama, penindasan demi penindasan bersulam kesumat bakal menjerat leher mereka sendiri. Percayalah, kezaliman akan dibalas dengan kehancuran kerana menzalimi kita, Bersatu dan PN.
“Mereka memperalatkan agensi kerajaan untuk melakukan pembunuhan karakter ke atas pemimpin kita sayangi, melakukan pendakwaan terpilih, bermotifkan politik dan penganiayaan, tetapi percayalah kita di pihak yang benar, kita akan bangkit dan ambil kembali kerajaan hari ini,” ujarnya.
Beliau menambah, pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri nanti akan menentukan nasib kerajaan tidak lama lagi.
“Mereka melakukan apa sahaja demi untuk kalahkan kita, tetapi PRN akan menentukan berapa lama hayat kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2023