Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa mengumumkan Majlis Keselamatan Negara meluluskan perarakan pedati membawa Dewa Murugan dari kuil di Jalan Bandar ke Batu Caves pada 27 Jan ini dan kembali ke kuil sama dua hari kemudian.

Tetapi, katanya, kelulusan itu mempunyai syaratnya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memantau pematuhan SOP semasa perarakan.

“Syaratnya, ‘chariot’ tidak boleh berhenti di mana-mana, pengikut tidak lebih 10 orang, tiada muzik dan lain-lain,” tulisnya di Twitter.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang pada 8 Jan lalu mengumumkan semua acara sempena sambutan Thaipusam di negeri itu yang akan bermula 27 hingga 29 Jan ini dibatalkan bagi membendung penularan Covid-19.

Ia termasuk perarakan dua pedati membawa Dewa Murugan yang merupakan kemuncak sambutan perayaan itu dan penganut Hindu juga dilarang menyertai upacara sembahyang di mana-mana kuil sepanjang tiga hari itu.

Sambutan Thaipusam tahun ini turut menjadi polemik susulan keputusan kerajaan Kedah membatalkan cuti peristiwa untuk perayaan itu berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan untuk memerangi Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjadi sasaran pemimpin MIC dan DAP yang menganggap keputusan itu tidak wajar.

Hanya Kedah membatalkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tahun ini. Pulau Pinang dan Selangor tidak berbuat demikian, sungguhpun sambutan pelbagai acara sempena Thaipusam dibatalkan kerana Covid-19.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *