PENYANYI popular era 1980-an, Rohana Jalil, 68, kini dilapor kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak semalam.

BH Online melaporkan, perkembangan duka itu dikongsi rakan baiknya, Datin Salwa Abdul Rahman pagi ini, namun tidak diketahui penyakitnya

Salwa berkata, dia terkejut diberitahu juara Bintang RTM 1980 itu berada dalam kritikal di ICU sejak semalam.

Katanya, doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapi Rohana memandangkan penyanyi lagu Rayuanku itu tidak pernah mengalami penyakit serius sebelum ini.

Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam Ahad lalu.

“Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.

“Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit.

“Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” katanya memetik portal tersebut.

Salwa berkata, dia diberitahu Rohana dikejarkan ke hospital kelmarin, namun, anak-anaknya masih merahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.

“Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.

“Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana dia masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.

“Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam,” katanya.

Mengulas lanjut Salwa berkata, beberapa bulan lalu, dia dan Rohana berada di Brunei hampir sebulan dan tidak nampak rakannya itu mengalami apa-apa sakit.

“Saya percaya Rohana mengawal pemakanan demi menjaga kesihatan. Saya tidak bertanya kerana melihatnya sentiasa sihat dan cerdas, cuma fizikal kurus.

“Jadi, saya mohon kita sama-sama mendoakan Rohana kembali sembuh. Saya berhasrat melawat Rohana, cuma menunggu maklum balas anak-anaknya,” katanya. – Malaysiapost

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *