Keputusan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih belum dimuktamadkan, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata perkara itu adalah cadangan dan pandangan daripada beberapa pihak, namun di peringkat parti keputusan berkaitan isu itu masih belum dibuat.

“Tapi parti akan bincang (mengenai penggunaan logo PN). Kita guna logo PN untuk dua pilihan raya besar di Johor dan Melaka… kita guna logo PN walaupun calon PAS,” katanya kepada pemberita.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengatakan Bersatu dan PAS setakat ini sudah membuat keputusan akan menggunakan logo PN pada PRU15.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata, perkara itu turut dipersetujui Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata perkara itu akan dimuktamadkan apabila tiba masanya nanti dan apa yang disebut Muhyiddin adalah persetujuan yang dicapai sebelum ini. Bernama

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.