PENGASAS dan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Dr Razali Nawawi meninggal dunia pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menerusi hantaran di Facebooknya.

“Saya mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum.

“Almarhum merupakan tokoh murabbi ummah yang mendidik serta mentarbiyah masyarakat dengan ilmu, akhlak dan adab. Sesungguhnya negara telah kehilangan seorang tokoh yang sekian lama berjuang untuk negara dan ummah.

“Semoga Allah mengampuni serta merahmati segala jasa bakti Almarhum kepada negara dan ummah,” katanya.

Allahyarham, 79, juga adalah bekas Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Allahyarham kembali ke Rahmatullah pada jam 6.45 pagi di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi.

Katanya, urusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi yang mana solat jenazah dijangka pada jam 10 pagi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing menziarahi Allahyarham ketika beliau terlantar sakit di hospital.

Sebelum ini, ABIM melalui laman media sosialnya turut memohon semua mendoakan Razali.

Beliau menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *